Saya kadang kala suka menonton Saluran Hallmark (C702). Ini kerana di saluran ini sering menayangkan drama-drama TV tentang kehidupan dengan corak jalan cerita yang berbeza. Antara drama TV yang saya gemari alah sekuel drama TV Love Comes Softly yang telah mengangkat suasana 1800-an di Amerika Syarikat dan telah diadaptasikan menerusi novel bersiri nukilan Janette Oke iaitu seorang penulis dari Kanada.
Ia mula ditayangkan di Hallmark Channel pada 2003. Setakat ini 6 buah drama siri Love Comes Softly ini telah ditayangkan di Hallmark channel setelah diadaptasi daripada 8 buah novel yang telah diterbitkan. Sekuel pertama siri drama Love Comes Softly ini dimulakan dengan kisah yang mengangkat judul yang sama dengan sirinya iaitu Love Comes Softly kemudian disusuli pula dengan kisah kedua iaitu Love's Enduring Promise, ketiga - Love's Long Journey, keempat- Love's Abiding Joy, kelima-Love's Unending Legacy dan keenam iaitu Love's Unfolding Dream. 2 lagi siri novel yang belum diadaptasi ialah Love Takes Wing dan Love Finds a Home.
Berikut merupakan sinopsis ringkas mengenai sekuel drama TV Love Comes Softly yang telah saya tonton di Astro Hallmark Channel (C702).
Setelah selesai sahaja berkahwin Marty Claridge (Katherine Heigl) telah berhijrah ke Barat untuk mencari peluang bagi menjalani kehidupan yang baru bersama suaminya Aaron Claridge (Oliver MacReady) , yang kemudiannya mati sewaktu sedang mengejar kudanya yang terlepas dari tambatan.
Pemergian suaminya membuatkan beliau kebingungan dan keseorangan memandangkan musim sejuk bakal menjelma dan beliau tidak mempunyai apa-apa yang membolehkan beliau pulang ke tempat asal. Ketika sedang meratapi pemergian suaminya, beliau didatangi seorang lelaki yang kemudiannya menawarkan Marty tempat tinggal buat sementara waktu dan akan menghantar Marty pulang sewaktu musim luruh tetapi dengan syarat Marty akan mengahwininya. Marty tidak mempunyai pilihan lain melainkan bersetuju untuk berkahwin dengan Clark Davis (Dale Midkiff), yang juga seorang duda yang kematian isterinya dan menetap bersama anak perempuannya, Missie (Skye McCole Bartusiak). Perkahwinan ini diharap dapat mengubah sikap tomboi Missie kepada feminin. Tindakan Clark mengahwini Marty benar-benar membuatkan Missie marah kerana baginya tiada siapa yang layak untuk menggantikan tempat mendiang ibunya. Dalam masa yang sama, Marty menunggu kelahiran anaknya bersama mendiang suaminya. Hari-hari yang mendatang, akhirnya berjaya melembutkan hati keras Missie dan tanpa disedari terbit rasa cinta antara Marty dan Clark, namun kedua-duanya cuba menyembunyikan. Menjelang hari-hari terakhir Marty di rumah Clark, Marty membuat keputusan untuk menulis sepucuk surat dan memohon agar Clark menghalangnya dari pulang ke kampung halaman. Harapan Marty tidak kesampaian apabila surat yang diselitkan di celah buku Clark telah terjatuh ke lantai dan hanya disedari oleh Clark setelah menghantar Marty pulang ke kampung halaman. Kerana cintanya, Clark mengejar kenderaan tumpangan Marty dan mengajak Marty tinggal bersamanya dan Missie.
2. Love's Enduring Promise (Cinta Tidak Melunturkan Perjanjian)
Berdasarkan kepada Janette Oke's best-selling novel, sekuel kedua dari siri Love Comes Softly ini telah dilukis dari permulaan hingga penghujungnya dengan penuh kepedihan dan
sarat sekali elemen kasih sayangnya. Setelah remaja Missie Davis (January Jones) kemudiannya dengan penuh minat telah mengajar di sebuah sekolah bagi kanak-kanak untuk membaca di samping membantu ayahnya di ladang keluarga. Apabila seorang jejaka kacak (Mackenzie Astin) pewaris perniagaan pembinaan landasan keretapi yang ke kampungnya telah cuba memikatnya dia hampir terbuai dengan keasyikan cinta. Namun kedatangan seorang jejaka asing Willie (Logan Bartholomew) di kampungnya yang telah membantu ayahnya di ladang telah menimbulkan dilema ke atas dirinya. Terperangkap antara 2 jerat percintaan, Missie akhirnya telah memilih jejaka yang sanggup bersusah payah di saat dia dalam kesusahan (Willie) daripada memilih jejaka yang mengajak beliau untuk meninggalkan kesusahannya di tanah leluhurnya itu.
3. Love's Long Journey (Cinta Perjalanan Yang Jauh)
Ini merupakan sekuel yang ketiga di dalam siri Love Comes Softly.
Dalam siri ini Missie (Erin Cottrell) telah pun merancang bersama suaminya Willie (Logan Bartholomew) untuk berhijrah bagi mencari penghidupan barunya sekelurga. Meninggalkan ayah dan ibunya di Ardeson Corner dia merantau mencari penempatan baru. Setelah berjumpa dengan tempat yang sesuai, suaminya telah pun menjalankan perniagaan penternakan kuda. Missie didapati ia telah mengandung dan kemudiannya di dalam sekuel ini dia sekelurga hampir sahaja di bunuh di sebabkan oleh satu konspirasi pekerjanya yang cuba melakukan rompakan. Namun akhirnya dengan keberanian Missie jenayah rompakan itu telah berjaya dihalang.
4. Love's Abiding Joy (Cinta Mengabadikan Kegembiraan)
Dengan arahan Michael Landon, Jr., sekuel keempat siri "Love Comes Softly" ini lebih menarik dan kemas jalinan ceritanya.
Setelah Missie (Erin Cottrell) dan suaminya (Logan Bartholomew) berjaya mendirikan kediaman yang selesa, mereka telah pun membesarkan keluarganya. Setelah landasan keretapi telah dibina merentasi seluruh negeri, ayah Missie Clark Davis (Dale Midkiff) dari Ardeson Corner telah pun datang melawat. Namun kegembiraan perjumpaan kelurga itu telah diragut apabila anak bongsu perempuan pasangan Missie and Willie telah meninggal dunia pada suatu pagi. Impak dari itu Missie mengalami kemurungan. Perniagaan penternakan suaminya juga mengalami masalah. Suami telah bertukar kerjaya menjadi Sherrif dan Missie telah pun kembali mengajar semula. Tekanan demi tekanan telah menimpa mereka namun dengan curahan kasih sayang dan semangat dari ayahnya masalah-masalah tersebut telah berjaya mereka atasi.
5. Love's Unending Legacy (Cinta Warisan Yang Berkekalan)
Selepas dua tahun di Tettsford Junction, suami Missie, Willie telah pun menemui ajal dalam satu kes pergaduhan yang tragik di sebuah bar sewaktu sedang menjalankan tugas.
Akibat dari tu (Erin Cottrell) dan anak lelakinya Maddie telah meninggalkan Tettsford Junction untuk pulang ke kampung halamannya di Ardeson Corner dan tinggal di ladang ayahnya dengan harapan dapat memulakan penghidupan yang baru. Namun kehidupannya sekali lagi diduga apabila dia telah menerima kehadiran anak yatim piatu dari New York iaitu Belinda (Holliston Coleman) yang telah terpisah dari adik lelakinya Jacob. Jacob telah diambil oleh pasangan di kampung itu dan dia telah dijadikan buruh kanak-kanak. Belinda telah menyimpan rahsia mengenai hubungannya dengan Jacob sehingga pada suatu malam Missie telah mengintip pergerakkannya yang sering mengambil makanan di dapur dan menyelinap keluar bagi berjumpa dengan Jacob. Dengan bantuan Syeriff di situ Missie telah berjaya mendapatkan hak penjagaan ke atas Jacob. Akhirnya Misie telah menemui cintanya semula dan telah berkahwin dengan Syeriff dan membesarkan 2 orang anak angkatnya (Jacob & Belinda) dan anaknya iaitu Maddie. Dale Midkiff and Victor Browne merupakan bintang yang telah menjayakan sekuel drama kisah cinta dan takdir ini.
6. Love's Unfolding Dream (Cinta Membuka Impian)
Dalam sekuel keenam ini anak angkat Missie iaitu Belinda (Scout Taylor-Compton) mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang doktor wanita.
Namun disebabkan zaman ketika itu kepercayaan yang mengatakan wanita sepatutnya duduk di rumah dan menguruskan rumah tangga telah membantutkan impiannya itu. Kepercayan ini turut juga dinyatakan oleh Doc Jackson (Robert Pine) yang membuka klinik di kawasan penempatan mereka ( Ardeson Corner ) apabila Belinda memohon untuk menjadi pembantu perubatan beliau. Tetapi disebabkan tiada calon yang sesuai Belinda diterima bekerja dengannya tetapi bukan sebagai pembantu perubatan. Namun dengan usaha gigih dan pembacaan yang luas Belinda semakin dipercayai dan diyakini oleh pesakit yang datang ke klinik Dr. Jacson. Tambahan pula Belinda telah berjaya menjadi pakar terapi ke atas seorang ibu tunggal yang kaya (Nancy Linehan Charles) yang kebetulan di serang strok ketika melalui Ardeson Corner untuk ke Boston. Akhirnya dia telah bersetuju untuk membiayai pengajian perubatan Belinda di Universiti Boston.
Yang menariknya drama-drama TV siri Love Comes Softly ini ialah latar suasana di Amerika Syarikat pada tahun 1880-an yang telah berjaya digambarkan dengan baik.
Saya suka melihat gaya kehidupan masyarakat barat pada era ini. Penuh dengan budi bahasa dan sopan santun. Pakaiannya lebih tertutup dan gaya percakapann lebih sopan. Selain itu siri ini telah berjaya melakar kehidupan struktur perhubungan keluarga yang baik. Kasih sayang antara keluarga iaitu datuk, nenek, anak dan cucu selain perhubungan antara manusia seperti anak angkat dan jiran-jiran yang mereka saling hormati. Namun kini semua jalinan kekeluargan ini telah hilang yang tinggal cuma keluarga nukleus sahaja. Situasi yang sama telah pun melanda masyarakat kita pada hari ini. Saya masih lagi menanti dua buah siri novel yang belum diadaptasi ke layar TV bagi sekuel ini iaitu Love Takes Wing dan Love Finds a Home !
0 comments:
Post a Comment