Kali ini saya hendak bercerita mengenai sebuah novel yang bertajuk "Seorang Tua di Kaki Gunung". Novel ini telah ditulis oleh Azizi Haji Abdullah. Novel Seorang Tua Di Kaki Gunung ini, telah mendapat tempat kedua dalam sayembara Hadiah Novel Gapena - Yayasan Sabah II (1981), kira-kira 27 tahun yang lepas. Telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan naskah yang saya baca ini ialah naskah cetakan ke-empat tahun 1986. Novel setebal 165 muka ini, rasa saya pernah diadaptasi sebagai drama TV sekitar tahun 1990-an atau penghujung tahun 1980-an. Tidak pasti pula tahun tayangannya tetapi saya pernah menonton drama ini kerana saya masih ingat lagi istilah popular yang digunakan dalam cerita ini iaitu mengenai saiz pokok yang dipanggil sebagai sebesar dua pemeluk. Novel ini juga menjadi teks bacaan sastera bagi pelajar tingkatan 4 dan 5 sekitar tahun 1980-an (kalau tidak silap saya).
Jom kita layan sinopsis novel ini.....
Intipati novel ini ialah mengenai persoalan jurang generasi. Watak Tuk Ya yang dicipta dalam novel ini telah memaparkan sikap warga emas yang keras mempertahankan jati diri dan
pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu. Tinggal bersamanya di rumahnya yang uzur itu ialah isterinya Besah.
Tuk Ya dan Nek Besah telah dikurniakan dengan anak tunggal lelakinya yang cerdik iaitu Fikri. Fikri merupakan anak kampung di kaki Gunung Bongsu yang menjadi pelajar pertama yang berjaya dalam bidang pelajaran. Bersekolah rendah di kampung dan kemudiannya mendapat pendidikan lanjut di sekolah asrama penuh hingga akhirnya belajar di luar negeri telah membuka mata penduduk kampung di kaki Gunung Bongsu. Setelah tamat belajar Fikri telah bekerja di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan warga kota, Fatimah dan di kurniakan dua orang anak iaitu Farid dan Lamin. Lamin lebih rapat dan pandai mengambil hati datuk dan neneknya. Dia juga mempunyai kencenderungan terhadap dunia hutan (kampung) manakala Farid seringkali bermegah-megah dengan kehidupannnya di Kuala Lumpur dan juga seringkali menghiris hati dan perasaan datuk dan neneknya apabila pulang di kampung. Dia juga sering mempersendakan keadaan rumah datuknya yang uzur itu.
Lamin acapkali menjadi kerinduaan kedua orang tua itu dan sehinggalah pada suatu hari Tuk Ya telah menghantar surat kepada Fikri untuk membawa cucu kesayangan itu bermalam di kampung beberapa hari. Fikri telah pun menghantar anaknya itu ke kampung sewaktu dalam perjalanan bertugas luar di Pulau Pinang.
Bersama cucunya Lamin, Tuk Ya membuat perancangan untuk mengambil madu lebah di hutan Gunung Bongsu. Malang tidak berbau,
Tuk Ya pengsan disengat Lebah hingga membawa beliau terlantar di Hospital selama 2 hari. Rentetan dari itu, Fikri telah pulang ke kampung bersama Isteri dan anaknya Farid. Dan tercetuslah perbalahan kecil yang menyebabkan Tuk Ya memasang azam untuk membina rumah barunya dengan menebang pokok Cengal Batu sebesar 2 pemeluk di hutan kaki Gunung Bongsu.
Dengan cita-citanya itu Tuk Ya telah dianggap sebagai seorang yang degil dan menjadi ejekan orang kampung. Cengal Batu itu telah berjaya ditebang namun Tuk Ya telah dihempap dan Cengal Batu itu telah menyebabkan kematiannya. Tinggal Besah seorang diri di kaki gunung Bongsu. Fikri telah memujuk ibunya Besah untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Namun Besah tetap berdegil untuk tinggal di Kaki Gunung Bongsu. Dan disinilah tajuk novel ini di perolehi iaitu " Seorang Tua di Kaki Gunung". Saya amat menyukai ayat penamat novel ini apabila Besah membulatkan tekadnya untuk kekal mendiami rumah pusakanya itu dan penulis mengakhiri novelnya dengan ayat ' Dan malam pun membungkus seisi rumah'.
Bagi saya penulis novel ini telah berjaya mengambarkan suasana kampung di kaki
Gunung Bongsu terutama alam hutannya berserta nama-nama jenis-jenis hidupan flora dan faunanya dengan bersungguh-sungguh. Selain itu emosi watak-watak dalam novel ini telah dilakarkan dengan baik sekali. Kerinduan Nek Besah dan Tuk Ya dengan cucunya Lamin, hati seoarang tua yang diguris dengan kata-kata anak, menantu dan cucunya amat turut sama dapat dirasai oleh pembaca. Saya berjaya menamatkan novel ini kira-kira jam 2 pagi. Sebaik sahaja lampu bilik dipadam. Saya terus tertidur. Dan malam pun membungkus seisi rumah!
Friday, July 11, 2008
Seorang Tua di Kaki Gunung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment