Pages

Tuesday, June 17, 2008

Irrasshaimase Japan

Konnichiwa

Kali ini saya akan berkongsi pengalaman mengenai kunjungan saya di negara matahari terbit iaitu Jepun. Lawatan saya ke Jepun ini adalah atas tajaan syarikat IBM di bawah unit/department IBM storage. Lawatan singkat yang bermula pada 9 ogos 2006 ini cuma 4 hari 3 malam sahaja.

Hari Pertama

Saya dan seorang lagi rakan saya telah dipilih bagi mewakili sektor awam dari Malaysia dan ada 2 orang lagi wakil dari agensi swasta dan berbangsa Cina. Kami bertolak dari KLIA dengan pesawat MH0070 tepat jam 11.00am melalui pintu C24. Penerbangan dari KLIA ke Narita Aiport telah mengambil masa lebih kurang 7 jam 10 minit. Di lapangan terbang Narita, kami telah dijemput oleh wakil IBM yang bernama Audrey yang berasal dari Muar, Johor dan telah pun menetap di Osaka Jepun selama 10 tahun. Di Narita Airport kami telah menaiki Airport Limousine di terminal 14. Oppss.. Airport Limo ini bukanlah seperti yang tuan/puan bayangkan seperti kereta Limo yang panjang macam kat US atau kota London tu. Airport Limo di sini merupakan sebuah bas yang membawa para penumpang ke destinasi yang telah ditetapkan berdasarkan laluan treknya. Basnya seakan-akan bas awam yang terdapat di Putrajaya sekarang. Sebijik. Ada teks LCD yang dipaparkan pada cermin depan bas tu. Macam tulah. Laluan bas di terminal 14 ini singgah di Hotel Laforet Tokyo, Shinagawa Prince, Sakura Tower, Takanawa Prince Hotel, The Westin Tokyo, The Strings Hotel dan juga hotel yang kami duduk iaitu Hotel Meridien Pasific Tokyo. Kami tiba di hotel jam 10.30pm. Saya ditempatkan di aras 18. Terasa kecil sahaja biliknya. Mungkin disesuaikan dengan saiz rakyat di sini. Terasa lapar sangat. Hidangan kami malam itu ialah Mee Maggie perisa kari.Best giler sebab sedang lapar. Nasib baik bawak bekalan Mee Maggie. Kalau tak makan angin jelah kami malam tu..

Hari Kedua.

Setelah bersarapan di kafeteria hotel. Nyaman sungguh persekitaran di kaferianya. Ada sebuah taman mini di belakang dan sisi cafe. Jam 7.15am kami berkumpul di lobi. Ada 3 buah bas disediakan dan setiap bas diperuntukkan kepada setiap negara. Kami dari Malaysia telah ditempatkan dengan wakil dari India dan Indonesia. Wakil dari India ’kerek’ dan degil betul. Waktu Agen IBM sedang beri taklimat pun depa asyik bercakap-cakap. Lepas tu tanya balik soalan yang sama. Saya lihat wakil IBM ada juga yang bengang kat diaorang tapi depan wakil India tersebut mereka senyum ajer. Ketika di belakang terdengar-dengar juga di kalangan wakil IBM yang mengumpat-ngumpat mereka.

Oh! Pagi itu ada sesi lawatan ke Pejabat/Kilang IBM di Makuhari. Di sana kami telah diberi taklimat mengenai Storage Area Network (SAN), Demo, Melawat Data Centre Facility di pusat data IBM di situ. Ehemm.. ramai peserta dari Filiphina dan Thailand yang kagum dengan robotic arm yang menjalankan kerja-kerja pemindahan tape dari tape library ke tape drive. Saya dan rakan cuma tersenyum dan berkata sesama sendiri. ”Kalau setakat nak tengok robot nie, tak perlulah kami ke Jepun. Dekat opis kami pun ada. Cuma perlu tekan lif ke data centre kami saja”. He..he... eksyen vanila betul.

Oh tengahari tu tahu kami makan apa? Tempayaki sambil kami berborak dengan pengarah urusan IBM Makuhari yang makan semeja dengan kami. Hebat betul.

Jam 1.15pm kami bertolak meninggalkan IBM Makuhari dan kemudiannya ke Disneyland Tokyo. Sampai di sana jam 2.00pm.Setelah dibelikan tiket yang ketika itu berharga 4,950 Yen (RM 154.00) kami pun mulalah berjalan ke destinasi masing-masing. Nasib baiklah saya pergi berdua, kalau tidak mati kutulah saya di sana. Oh..Taman Tema Disneyland Tokyo ini sungguh besar dengan keluasan 466,535 m². Ianya teletak di Urayasu, Chiba yang berdekatan dengan Tokyo. Ianya juga dikatakan taman tema Disney yang pertama dibina di luar USA dan telah dibuka secara rasminya pada 15 April 1983.Di taman ini terdapat 7 area yang mempunyai tema masing-masing iaitu World Bazaar, Adventureland, Westernland, Fantasyland dan Tomorrowland, dan terdapat dua mini land iaitu Critter Country dan Mickey's Toontown. Malangnya disebabkan oleh masa yang singkat dan ramai juga pelawat ketika itu, kami tidak sempat menaiki semua rides yang ada. Kami terpaksa memilih mana yang tidak ramai orang beratur panjang dan juga yang betul-betul memikat hati. Antara rides/games yang kami sempat naiki ialah Pirates of the Carribeans (Menaiki perahu menyelusuri sungai/gua dan dikiri kanan dihidangkan panorama tentang dunia lanun), Big Thunder Mountain (menaiki keretapi seakan-akan roller coaster dengan bukit-bukau gersang yang bersuasana koboi). Kami telah membuang masa di sini kerana perlu beratur panjang sebelum dapat menaikinya tetapi berbaloi juga dengan pengalaman yang kami lalui selepas itu. Jungle Cruise (menaiki bot menyusuri anak sungai buatan yang seolah-olah sungai semula jadi. Terdapat haiwan-haiwan liar di kiri kanan sungai. Di dalam bot itu kita akan diberi penerangan oleh renjer hutan yang berpakaian macam cerita tarzan tu. Tapi dia dok bantai cakap Jepun jer. Yang pastinya bila diaorang ketawa, kami pun ketawa juga kerana ketawa tak paham kenapa dia orang ketawa). It's a Small World (kita akan menaiki sampan kecil menyusuri sungai dan didendangkan dengan alunan lagu It's a Small World serentak dengan tarian patung kanak-kanak kiri kanan dinding dari seluruh dunia. Ada juga patung kanak-kanak berbaju Melayu dan berbaju kurung. Micro Adventure (Pernah ada menonton filem Honey, I Shrunk the Kids ataupun Honey, I Blew Up the Kid ? - Di pawagam ini kita akan menonton tayangan filem ini dengan cermin mata khas dan kemudiannya kita akan melihat imej-imej tersebut akan terkeluar dari skrin dan terasa real berada di depan mata kita seperti ular yang menjelirkan lidahnya didepan mata kita, anjing yang mengoyangkan kepalanya yang basah dan kita terasa disimbah dengan percikan air, tikus-tikus yang terlepas dari sangkar dan kemudianya keluar dari skrin dan merayap-rayap di kaki kita. He..he.. Ohh..my...).

Tepat jam 7.30pm ada perarakan kereta berhias dan watak-watak cerita Disney dilaluan jalan utama. Jam 8.30pm ada pertunjukkan bunga api dan jam 9.00pm kami bertolak pulang ke hotel. Banyak lagi rides yang belum kami naiki lagi tetapi apakan daya masa tidak mengizinkan. Walaupun letih tetapi pengalaman yang dilalui amat seronoknyeerrr.

Hari Ketiga.
Hari ini kami ada lawatan di IBM Yamato Laboratory. Ada taklimat dan juga demo tentang tape drive dan tape LTO Gen 2. Kemudianya kami telah di bawa ke Shinjuku dan dibiarkan di sana untuk membeli belah. Tak beli apa-apa pun kerana mahal harganya. Kononnya hendak beli MP3 player ataupun iPod. Emm.. semuanya peralatan bertulisan dan berbahasa Jepun. Manakala bagi barangan international (berbahasa English, harganya masih juga mahal jika ditukar dengan mata wang ringgit Malaysia. Dengan keluasan 18.23 km², di Shinjuku ini terdapat department stores seperti Isetan, kedai-kedai specialist electronic dan camera, cinemas, restaurants dan juga bar. Terdapat banyak juga international hotels di sini. Bagi makan malam kami telah dibawa ke restoran ketam. Semua hidangannya berorentasikan ketam, nasi ketam, ketam bakar, ketam tempura, sup ketam dan minum air oren. Ahli rombongan yang lain semua teguk sake. Baru kami perasan yang saya dan rakan sahaja muslim dikalangan ahli rombongan di situ kerana pada mulanya kami ingat ada ahli rombongan dari Indonesia juga Islam sebab muka dema macam Islam jer. Tapi bila tengok mereka pun teguk sake tak ingat, terus jangkaan kami meleset. Selepas dinner tersebut kami bersalam-salaman dengan ahli yang lain kerana esoknya merupakan hari terakhir untuk kami bertolak pulang ke negara masing-masing.

Hari Keempat.
Berkumpul di lobi jam 9.00am dan bertolak ke Narita Airport jam 10.00am. Semasa masuk ke dalam kawasan Air Port, kami telah diperiksa di dalam bas lagi oleh penguatkuasa airport di sana. Selepas itu kami tiba di bangunan terminal, punyalah panjang nak beratur untuk check-in. Sementara menunggu untuk menaiki pesawat, saya sempat membeli-belah t-shirt, key-chain dan lain-lain cendera mata sebagai tanda ingatan kami di sini. Yang menariknya setiap barang yang kami beli akan dibalut dengan cantik persis sebuah hadiah. Amat menarik sekali. Jam 12.50pm kami pun berlepas ke KLIA dengan pesawat MH 0071 dan mendarat di KLIA ketika jarum jam diangka 7.35pm. Tamatlah sebuah pengalaman berharga saya di sebuah negara yang dulunya pernah menjajah kita selama 3 tahun 8 bulan.

1. Di depan bas awam di Tokyo, 2. Sepetang di Disneyland Tokyo, 3. Di depan Cinderella Castle, 4. Di IBM Makuhari, 5. Di IBM Yamato Laboratory, 6. Di Depan Takanawa Prince Hotel, 7. The Crab Restaurant in Shinjuku, 8. In front of Disneyland Tokyo.

Sayonara. Bai – bai

0 comments: