Pages

Sunday, June 15, 2008

Aaja Nachle (Come Let's Dance)

Semasa berkursus dan duduk dia asrama tempohari saya kurang bernasib baik kerana ditempatkan di bilik yang tv nya sudah rosak. Sedang kebosanan kerana tiada apa yang perlu dilakukan pada petang Rabu tersebut selepas habis kelas saya telah menonton sebuah cerita hindi yang bertajuk Aaja Nachle (Come Let's Dance) melalui komputer riba saya. DVD cerita ini saya beli di pasar malam pada hari Isnin lepas. Apa yang menarik filem ini ialah pelakon utamanya iaitu Madhuri Dixit yang membuat come back selepas 6 tahun menyepikan diri setelah berkahwin.

Sinopis
Cerita ini mengisahkan tentang kisah seorang penari yang juga merupakan seorang pereka tari muzikal filem dan teater yang telah menetap di USA. Dia kemudiannya telah pulang ke India setelah mendapat pangilan telefon yang mengatakan guru tariannya sewaktu beliau di India sedang nazak. Malangnya beliau tidak sempat untuk menemui gurunya itu tetapi gurunya telah meninggalkan amanat bagi beliau untuk menyelamatkan pentas terbuka teater tarian (Ajanta) di Kampungnya, Shamli dari dimusnahkan untuk pembinaan pusat membeli belah. Bagi menyelamatkan Ajanta dari dimusnahkan, Diya (Maduhri) telah menyahut cabaran pihak berkuasa tempatan bagi mementaskan sebuah persembahan muzikal yang bertajuk Laila & Majnun di situ. Menambahkan lagi kesukaran, Diya telah diberi syarat agar kesemua pelakon, pemuzik dan mereka yang terlibat dalam pementasan tersebut mestilah terdiri dari anak tempatan dari Shamli. Sekiranya pementasan itu berjaya dan mendapat sambutan, pihak berkuasa akan membatalkan projek pembinaan pusat membeli belah di situ.

Pelbagai masalah yang dihadapi oleh Diya. Dengan berbekalkan rekod buruknya terdahulu di mana belaiu telah melarikan diri bersama lelaki mat salleh dari US sebelum majlis pertunangannya berlangsung, beliau telah terus berusaha. Dari pemilihan pelakon untuk menjayakan persembahannya, pengkhianatan rakan baiknya dan juga rekodnya yang buruk di Shamli dahulu dia terus menempuh pelbagai halangan dan rintangan. Namun macam biasalah cerita hindi, tentulah diakhiri dengan happy ending kan.

Cerita ini telah mengundang kontrovesi di mana sebuah lagu dari filem ini mengandungi lirik yang telah menyentuh sensiviti masyarakat Punjabi. Filem ini telah dihalang tayangan di Uttar Pradesh , Punjab dan Haryana. Namun setelah lirik ini dihilangkan dalam lagu tersebut dan pengarah filem ini memohon maaf secara terbuka, larangan tayangan filem ini telah di tarik balik.

Secara umumnya cerita ini agak menarik kerana terdapat unsur-unsur muzikal namun disebabkan olahan jalan ceritanya yang mudah terdapat beberapa kelemahan yang ketara. Terdapat beberapa babak atau adegan yang longgar kelogikannya. Namun begitu lakonan Madhuri Dixit dengan gaya lakonan dan tariannya masih lagi berada di kelasnya yang tersendiri. Filem yang menjadikan Madhuri Dixit sebagai umpan untuk mendapatkan sambutan dari orang ramai ini gagal untuk menjadi Super Duper Hit di India sewaktu tayangannya berlangsung.

0 comments: