Pagi tadi saya sempat menonton (ulang tonton cerita) Melayu klasik di Saluran Astro Prima (C105). Walaupun sudah berpuluh kali menonton cerita ini tetapi saya tetap beranggapan cerita ini masih lagi seronok untuk ditonton. Walaupun cerita ini diolah dengan elemen komedi tetapi jalan ceritanya sarat dengan sindiran dan pengajaran yang berguna. Cerita ini telah diterbitkan pada tahun 1959 dan diarahkan dan dilakonkan sendiri oleh P Ramlee (Tun Nila) dan Heroinnya adalah Saadiah (Puspawangi).
Sinopsis
Di sebuah negeri bernama Pura Cendana, pemerintahnya, Raja Alam Syahbana dan permaisurinya telah membuat keputusan untuk mengambil seorang anak angkat kerana tidak mereka mempunyai zuriat. Tun Nila telah terpilih dari ribuan calon.

Apabila Tun Nila membesar menjadi seorang putera yang kacak, Raja telah memintanya mencari calon isteri. Tun Nila bertekad untuk mengembara untuk mencari pasangan yang sempurna. Sebelum dia bertolak, dia telah membuat satu bungkusan bekalan makanan yang mengandungi bahan-bahan masakan yang bercampur aduk seperti beras, garam, gula, cili dan sebagainya. Tujuannya ialah apabila ada gadis yang boleh membuat hidangan dari bahan-bahan tersebut, dia akan mengahwini gadis itu.. Sepanjang pengembaraannya, dia menemui ramai gadis, tapi apabila diminta untuk memasak, semuanya gagal kerana bahan-bahan tersebut telah bercampur aduk. Ada pula yang mengangap beliau adalah seorang yang gila.
Akhirnya dia menemui seorang gadis yang bijak dan cantik yang bernama Puspawangi. Sekali lagi Tun Nila telah meyerahkan bekalan makanan yang dibawanya untuk dimasak oleh tuan rumah. Memikirkan mesti ada helah apabila bahan-bahan masakan itu dicampur adukkan, Puspawangi telah menyahut cabaran itu dan mula mengasing-asingkan bahan-bahan tersebut dan telah memasaknya. Apabila Tun Nila mengetahui bahawa Puspawangi telah berjaya memasak bekalan makanannya, dia terus melamar Puspawangi setelah mendapat persetujuan ibubapanya. Mereka pun berkahwin.
Namun masalah baru pula timbul apabila Tun Nila membawa Puspawangi pulang ke Istana. Raja serta para menterinya telah terpegun dan tertarik dengan kecantikan Puspawangi. Lalu raja telah merancang untuk memerintah Tun Nila supaya mencari musang berjanggut agar beliau dapat bermesra dengan Puspawangi. Namun dengan kebijaksaan Puspawangi, dia berjaya memerangkap raja dan menterinya dan menjadikan Datuk Nikah Khawin sebagai Musang Berjanggut. Akhirnya kejadian itu telah berjaya menyedarkan Raja dan menterinya atas kealpaan mereka.
Selain dari jalan ceritanya yang menarik saya juga berminat pada dialog (patah perkataan) yang digunakan dalam cerita ini. Seperti babak antara Tun Nila (P Ramlee) dengan rombongan orang kaya yang berketurunan Ayam Belanda untuk meminang Puspawangi di rumah Pak Kemeyan (bapa Puspawangi).
1. Dialog Tun Nila "Walau berdentum guruh dilangit, bumi tak hancur sebelum kiamat.
2. Dialog Anak orang kaya yang ingin meminang Puspawangi. "Harimau liar dapat kujinakkan, inikan pula kucing peliharaan."
3. Dialog Anak Orang Kaya. "Sediakan payung sebelum hujan, sediakan perahu sebelum bah". Tun Nila pula membalas " Payung sudah disiap, perahu juga sudah ku siapkan."
Menarik bukan ?
Sebagai info tambahan, lagu 'Jangan Adek Angan Angan' yang terdapat dalam filem Musang Berjanggut ini telah memenagi anugerah Lagu Sukaramai' / 'Favorite Song' pada tahun 1960.
JANGAN ADIK ANGAN-ANGAN
Jangan-janganlah adik angan-angan
Merayau ke alam impian
Duduk termenung kesepian
Tiada teman
Tujuh gunung lautan-lautan
Sembilan lautan ala intan
Umpan kutabur dah makan
Ikan dah makan
Bagai-bagailah mana indah syurga
Bertaman bunga aneka rupa
Kalau si bunga tak dijaga
Terkulai juga
Dari hari purnama-purnama
Sehingga purnama ala nyawa
Bunga menanti pawana
Dihembus pawana
Nyanyian: P Ramlee & Rahmat Rahmat
Senilagu: P Ramlee ; Senikata: S Sudarmaji
ps : When Tun Nila refuses to marry any of the women in the kingdom, he was claiming that they not true "females" because they have no honour. Even present day its become more true and valid statement!
0 comments:
Post a Comment