Saya telah pun menonton filem Indiana Jones and The Kingdom of The Crystal Skull pada hari Isnin lepas di GSC Alamanda Putrajaya. Saya memang meminati siri filem Indiana Jones ini sejak di bangku sekolah lagi dan telah menonton kesemua filem-filem ini. Saya malas hendak membuat rebiu tentang filem ini tapi saya telah memetik rencana/ulasan filem ini dari akhbar Utusan Malaysia pada hari Selasa lepas. Saya juga berpendapat seperti mana yang ditulis oleh penulis dari akhbar harian ini. Berikut merupakan ulasan yang ditulis bagi filem tersebut.
APABILA Steven Spielberg menghasilkan Indiana Jones and The Lost Ark pada tahun 1981,
kemudian Indiana Jones and The Temple of Dome (1984) dan yang ketiga Indiana Jones and The Last Crusade (1989), beliau bukan sahaja menghasilkan filem fantasi dan aksi cemas yang cukup berjaya dalam sejarah filem.
Beliau sebenarnya kekal bergerak dalam bentuk dan konsep filem ‘fesyen lama’ Hollywood. Filem Indiana Jones sebagaimana filem-filem aksi tahun 80-an sebenarnya filem yang tebal dengan ideologi di mana naratifnya mengambil bentuk pengaruh komik dan naratif yang memuatkan pertentangan sejarah, politik serta ideologi.
Pertentangan sejarah dan ideologi ini dapat dilihat dengan kemunculan watak Nazi Jerman sebagai antagonis. Biarpun semua filem Indiana tidak mewacanakan Nazisme itu secara ketara tetapi dalam konteks naratif yang lebih luas dan popular, Nazi telah dikenali secara universal sebagai musuh atau orang jahat.
Maka Indiana Jones yang cuba bukan sahaja menyelamatkan tinggalan bahtera Noh sebagai artifak sejarah yang menjadi simbol agama Yahudi tetapi juga secara simbolis menyelamatkan kaum Yahudi daripada kekejaman Nazi.
Pelindung
Menariknya semua filem Indiana Jones mengambil agama sebagai landasan plotnya dan watak Indiana Jones menjadi pelindung kepada simbol-simbol agama tersebut.
Dalam The Lost Ark, objek arkeloginya adalah elemen yang menjadi simbol agama Yahudi, dalam The Temple of Dome ia adalah objek agama Hindu dan dalam The Last Crusade ia mengambil objek yang menjadi simbol dalam agama Kristian iaitu legenda Holy Grail.
Indiana Jones (masih kekal dipegang oleh Harrison Ford) sendiri adalah watak hero Amerika yang tipikal yang identitinya diambil bentuknya daripada watak-watak hero fantasi dan komik seperti Tarzan, Zorro, Batman dan Superman.
Watak-watak ini bersifat dualisme yang mana mereka pada dasarnya adalah watak yang terbuka dan defensif tetapi akan berubah kepada watak alter-egonya yang agresif dalam heroisme mereka.
Begitulah watak Dr. Indiana Jones, seorang professor arkeologi yang memakai cermin mata, bersifat lemah lembut dan sungguhpun mempunyai autoriti tetapi pasif.
Indiana juga sebenarnya mewakili fahaman Amerika yang lama, sebagai individual yang rugged yang akan mengingatkan kepada semangat dan identiti penakluk dan dalam filem-filem tersebut Indiana juga mewakili imperialis Amerika sebagai penyelamat dan pelindung kepada kemusnahan tamadun (Yahudi, Hindu dan Kristian).
Kemusnahan dan permasalahan semasa yang ditunjukkan bukan sahaja disebabkan oleh penjajahan tetapi juga oleh budaya tempatan.
Tidak seperti mana hero ciptaan Britain yang digambarkan cenderung menguasai wanita, Indiana seperti mana tradisi hero Amerika bersifat maskulin dan hampir meminggirkan wanita.
Agresif
Tetapi sebagai tradisi Amerika ia mampu berhadapan dengan apa juga rintangan dan mampu mengatasinya dengan skil fizikalnya yang agresif dan juga kebijaksanaannya.
Selepas 19 tahun, Steven Spielberg kembali mengarahkan filem Indiana Jones, kali ini dengan judul Indiana Jones and The Kingdom of The Crystal Skull.
Harrison Ford masih kekal sebagai Dr. Jones, Professor Arkeologi yang gemar memakai topi, berbaju lusuh dan berjaket kulit serta berbekalkan cemeti.
Jika dalam tiga siri Indiana Jones yang lalu, peristiwanya berpusat di Afrika dan Asia Tengah, tetapi dalam Indiana Jones and The Kingdom of The Crystal Skull peristiwanya berpusat di Amerika Latin dengan turut mengambil tamadun Mayan sebagai latarnya.
Dalam filem ini yang mengambil latar tahun 1957, Indiana Jones bersaing dengan sekumpulan tentera Rusia yang diketuai Spalko (Kate Blanchett) untuk mencari dan membongkar misteri tengkorak kristal yang tersembunyi di bawah kuil dan tamadun Mayan.
Persaingan musuh dalam filem kali ini adalah musuh tradisi dalam perang dingin Amerika iaitu Rusia. Akhirnya Indiana berjaya menewaskan musuhnya.
Filem itu sendiri masih meneruskan konsep imperialisme Amerika dan penekanan konsep ideologi unilateral Amerika yang melihat masyarakat setempat sebagai rakyat negara ketiga yang negatif, tidak bertamadun dan mudah membenarkan penguasaan imperialis.
Di akhir filem ini secara simbolik ditunjukkan bagaimana tamadun Mayan yang hebat itu sebenarnya dibantu oleh kehebatan makhluk asing melalui gambaran tengkorak kristal yang bercantum dan membentuk makhluk asing serta kemunculan kapal angkasanya.
Lebih menarik yang kemudian menyelamatkan tamadun tersebut adalah seorang rakyat Amerika iaitu Dr. Indiana Jones.
Filem Indiana Jones and The Kingdom of The Crystal Skull bergerak di atas landas naratif yang mudah, klise dan simplistik.
Daripada mudahnya tentera Rusia menguasai kem tentera Amerika di bumi Amerika yang menyimpan peralatan senjata nuklear hingga kepada persaingan antara Indiana dan sekumpulan tentera Rusia yang masih diketuai oleh Spalko dalam mencari tengkorak kristal di Amerika Latin.
Disebabkan filem Indiana Jones merupakan sebuah filem aksi dan kembara serta hiburan keluarga maka Spielberg tetap menyuntik elemen kekeluargaan.
Dalam filem ini, Indiana berdepan dengan anaknya sendiri Mutt William (Shia LaBeouf) hasil hubungannya dengan teman wanitanya Marion (Karen Allen) yang tidak diketahuinya mengandung ketika dalam filem The Last Crusade.
Sepertimana dalam filem The Last Crusade memperlihatkan bagaimana Indiana didedahkan dengan kerja arkeologi dan mendapat mendapat pengaruh daripada bapanya sendiri Henry Jones Sr. (lakonan Sean Connery), maka dalam filem ini Mutt didedahkan dengan pengembaraan arkeologi bapanya.
Dari segi cerita, The Kingdom of The Crystal Skull adalah yang paling lemah dan membosankan, tetapi aksi lasak, tempo suntingan yang pantas dan dramatik serta penggunaan efek khas yang menarik telah menyelamatkan filem ini.
Namun, adegan penamat filem ini terasa melucukan dan keterlaluan. Apakah ini bentuk penamat yang menarik dan tepat?
0 comments:
Post a Comment