Filem tontonan pertama saya di pawagam pada tahun 2009 ini ialah Filem yang berjudul 'Australia'. Saya telah menonton cerita ini di TGV KLCC sebab tidak semua cineplex menanyang cerita ini. Filem ini telah dibintangi oleh Nicole Kidman, Hugh Jackman dan juga Bryan Brown sebagai teraju utama.Lakon layar filem ini pula ditulis oleh Baz Lurhmann bersama Stuart Beattie, Ronald Harwood dan Richard Flanagan.

Filem Australia yang mengambil latar sejarah negara Australia antara tahun 1930-an hingga 1940-an berlatarkan era Australia yang sedang bergolak dengan masalah hubungan antara kaum kulit putih dan penentangan masyarakat pribumi dan dalam kecamuk perang dunia kedua.
Sinopsis
Filem ‘Australia’ mengisahkan tentang seorang wanita aristokrat Inggeris, Lady Sarah Ashley yang mahukan sebuah kehidupan yang sempurna. Tetapi perkahwinannya tidak begitu membahagiakan kerana suaminya berada jauh di Australia. Malah dia juga tidak mempunyai anak. Oleh kerana dia mula mengesyaki suaminya mempunyai wanita lain, dia mengambil keputusan untuk ke Australia bagi mencari suaminya.
Sebaik tiba di sana, Lady Sarah mendapati suaminya, Lord Ashley telah mati dibunuh. Menurut pengurus ladang milik suaminya, Neil Fletcher, suaminya dibunuh oleh seorang lelaki penduduk pribumi yang sememangnya menjadi buruan pihak berkuasa.
Dengan kematian suaminya, Lady Sarah mewarisi ladang Faraway Downs. Fletcher berkomplot bersama seorang ahli perniagaan, King Carney (Bryan Brown) untuk merampas perniagaan Lord Ashley. Bagi menyelamatkan perniagaan terbabit, Sarah mesti bekerjasama dengan Drover (Hugh Jackman), lelaki yang tidak begitu disenanginya.

Bagi menyelamatkan ladang diwarisi, Sarah, Dover, Nullah dan beberapa pekerja pribuminya perlu mengemudi kira-kira 1,500 lembu menerusi kawasan yang mencabar, untuk ke pelabuhan Darwin, sebelum King Carney memusnahkan segala impiannya. Perjalanan itu menempuhi pelbagai kesukaran apabila Fletcher dan kuncu-kuncunya sering menganggu dengan melakukan pelbagai muslihat.
Ulasan
Menonton cerita yang berdurasi 170 minit amat mengujakan dengan paparan alam semulajadi yang menakjudkan pada setiap adegan. Namun kedinginan di panggung TGV KLCC amat mencengkam sekali. Sudah ler terlupa bawa baju sejuk. Akhirnya terpaksa menahan kesejukkan dan sedikit menganggu tumpuan menonton.
Memang tidak rugilah nak menonton cerita yang sarat dengan elemen kasih sayang sesama manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan, paparan alam semulajadi Australia yang jarang-jarang sekali dapat dilihat dikaca TV ataupun dilayar perak dan juga yang paling saya suka ialah paparan kejadian yang berlaku pada sekitar tahun-tahun 1940-an yang agak klasik dan menarik sekali. Landskap Australia yang luas dan dramatik berjaya diangkat dengan cemerlang oleh dengan shot-shot udara, gambaran landskap tanah Australia dengan warna alam yang mempesona. Kejayaan visual Australia dibantu oleh Imej Janaan Komputer (IJK) yang mampu membina semula Australia pada era 1930-an dan 40-an.
Saranan: Tidak rugi untuk ditonton. Tapi tengok sekali jelah. Lepas tu malas lagi nak tengok cause panjang sangat. Macam cerita Hindi lak..