Novel ini telah terpilih sebagai salah satu finalis bagi Hadiah Sako 2 bagi Novel Nasional 1997/2002. Sebagaimana tulisan yang terpapar di bahagian hadapan, "Sebuah travelog kaya ilmu," buku ini padat dengan info terutamanya berkenaan negara Soviet Union. Novel ini setebal 319 mukasurat (termasuk lampiran foto) dan telah saya meminjamnya dari perpustakaan Universiti pada awal cuti semester lagi. Kononnya sebagai pengisi masa senggang yang ada dan setelah hampir habis cuti semester ini baru lah saya berjaya menamatkan bacaannya semalam.
Pada permulaan buku ini, saya merasakan ada sedikit kebosanan dan hampir ingin menamatkan sahaja pembacaan dari terus membaca helaian seterusnya. Ini kerana terdapat banyak sangat fakta sejarah dan bibliografi tentang tokoh-tokoh muzik seperti Peter Ilych Tchaikovsky yang saya tidak tahu latar dan kewujudannya. Macam baca buku sejarah pula. Namun saya gagahkan juga bacaan disebabkan oleh keistimewaan penulis yang pada saya telah bersusah payah menulis dengan membuat kajian secara ilmiah untuk penulisan novel beliau ini. Daripada baca buku novel cinta picisan yang entah apa-apa itu baik saya baca novel-novel sebegini ini. Selain itu, bagi saya penulis berjaya melakarkan pandangan lensa dari kaca matanya mengenai bandar-bandar Moscow, Brastk, Irkustk, Tasik Baikal, Siberia, Tashkent, Bukhara dan Leningrad.
Sinopsis Hatiku Terluka Di Bukhara
Hatiku Terluka Di Bukhara adalah sebuah novel travelog. Ia mengisahkan tentang pengalaman perjalanan penulis sewaktu berkunjung ke bumi Soviet Union.
Perjalanan ini dicatatkan sebelum Soviet Union berpecah. Ia cuba menggambarkan budaya dan cara hidup di bawah pemerintahan sosialisme. Perjalanan penulis telah memperlihatkan kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh Soviet Union dalam bidang sains terutama sekali bidang sains angkasa.
Membaca novel ini juga akan mengenalkan khalayak pembaca kepada Tchaikovsky, pencipta muzik agung Rusia. Peter Ilych Tchaikovsky lahir di Votinsk pada 1840 dan meninggal dunia di Leningrad pada tahun 1893. Tchaikovsky mencipta gubahan muzik yang dikenali ramai seperti Swan Lake, Sleeping Beauty, 1812 Overture dan Piano Concerto No 1. Penulis membawa kita melawat Muzium Tchaikovsky, juga singgah di rumah yang pernah didiami beliau di Kiln. Penulis juga sempat menyelitkan kisah pertemuan beliau dengan seorang anak Melayu yang menjadi penari balet terkanan di Royal London Ballet.
Bukhara adalah bumi kelahiran Imam Bukhari. Ianya juga tempat lahirnya Ibnu Sina, pemikir dan pakar ilmu perubatan pada abad ke-11.
Agak pelik juga bila cerita tentang Bukhara hanya mengisi bahagian suku terakhir buku ini. Apa yang membuat penulis terluka di Bukhara ialah disebabkan oleh penyelewangan fungsi masjid yang terdapat di situ. Masjid-masjid ini telah dijadikan pusat hibuaran, bar, muzium dan juga seperti ada penindasan beragama yang dilakukan ke atas penduduk Islam di Bukhara. Begitu juga amalan Islam yang diabaikan oleh penganut agama Islam yang terdapat di situ.
Bagi saya usaha menulis buku berbentuk travelog atau catatan perjalanan harus diberi pujian. Kita masih kurang buku-buku begini. Namun kadang kala corak penulisan yang terlalu sarat dengan fakta-fakta yang kaku juga boleh mematikan selera pembaca untuk terus menamatkan pembacaan.
Selesai baca buku ini terasa ingin saja pergi melancong ke sana. Tapi apakan daya. Berapa banyak ongkos yang diperlukan jika hendak ke sana. Bilalah Air Asia hendak meluaskan destinasi perjalanannya ke Uzbekistan !!
Tuesday, July 1, 2008
Hatiku Terluka Di Bukhara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment