Pages

Monday, July 21, 2008

Chum Reap Suor Cambodia (Selamat Datang Ke Kemboja)

Kali ini saya hendak bercerita tentang lawatan pelancongan saya bersama rakan-rakan saya yang kami gelarkan 4 abang. Destinasi pelancongan yang kami pilih ialah Siem Reap yang terletak di Kemboja atau dikenali sebagai Kampuchea.  Negara ini mempunyai keluasan 181 036 km persegi dan mempunyai pendududk seramai 12 212 306 orang. Ibu negaranya ialah Phnom Penh dan mata wang nya adalah Riel (CR). Bahasa rasmi di sini ialah bahasa Khmer di samping bahasa lain seperti Bahasa Peranchis dan juga Inggeris. Agama utama penduduk kemboja ialah Budha 95%, Islam 2% manakala eksport utamanya ialah Balak, getah, kacang soya serta bijan. Yang saya cerita ialah tentang keseluran kemboja ini apasal ekkk.. Padahal saya cuma sempat melawat Siem Reap sahaja iaitu salah satu Bandar yang popular di Kemboja selain daripada bandar Kompong Som, Kampot dan juga Battambang. Siem Reap ini terkenal dengan tarikan pelancongan yang di panggil Angkor. Oh..penerbangan kami ke sini telah ditaja oleh Air Asia.. Opss.. ditaja..harammmm.. kami sendiri yang bayar, tapi nasib baik ada promosi tambang murah RM9.90 sehala. Kalau tidak, tidak dipandang pun Siem Reap ni. He..he Okeylah jom kita jelajah aktiviti percutian saya ini yang mengambil masa 4 hari 3 malam (19-22 Mei 2007) di salah satu negara yang terletak di dalam gugusan tanah Indo-China ini.

Kami atau saya bertolak dari LCCT tepat jam 10.05am (tiada flight delay pulak) dan sampai di Lapangan Terbang Siem Reap jam 11.10am (waktu tempatan). Rasanya kat sana masa macam tercepat 1 jam dari masa di Malaysia . Tidak berapa nak ingat. Dari Air Port kami berempat telah menaiki teksi ke hotel Angkor Town. Bayaran teksi USD5.00. Di sini semua main USD jer. Duit Rier (CR) haram depa tak pandang. Lepak di hotel tersebut sepanjang 3 malam di sana dengan kadar USD 20.00 sebilik/malam. Kami sewa 2 bilik. Petang itu lebih kurang jam 5pm. Kami telah Angkor untuk melihat matahari terbenam. Untuk masuk ke dalam Angkor kami telah membeli tiket yang berharga USD 20.00 (one day pass). Pas ini boleh digunakan pada esoknya disebabkan selepas jam 6pm, bagi pelancong yang ingin melihat matahari tengelam, tiada bayaran yang dikenakan. Jauh nak pergi tengok matahari terbenam ni. Kena naik bukit dan tangga. Lokasinya terletak di satu kawasan tanah tinggi yang dipanggil Bayon kalau tak silap. Kalau tak larat nak naik gajah pun boleh. Tapi ongkosnya perlulah disediakan. Rasanya dalam USD5.00. Bagi kami yang muda-muda ini baik lah sahaja menapak. Sampai sahaja di atas, basah juga baju ni. Saat nak menunggu matahari terbenam tu pun makan masa gak. Macam boring gila nak tunggu. Tak der unsur-unsur sentimental langsung kami ini.

Sebaik sahaja nampak jer sikit matahari terbenam dan selesai snap-snap gambar, kami pun baliklah ke kaki bukit. Pemandu teksi yang kami booked telah pun sedia menunggu. Kami minta dihantarkan ke restoran halal untuk makan malam. Kami telah ke restoran Curry Walla yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia. Menu kami pada malam itu ialah Nasi Beriani. Ada yang order Beriani Lembu, Ayam dan saya cuma beriani Udang. Kononnya minta yang spicy..nah amik kau…Spicynya tak sama dengan spicy di Malaysia. Merah dan berair mata kami untuk menghabiskan sepingan nasi. Pedas yang amat. Selepas itu kami pulang ke hotel untuk merehatkan diri.Paginya kami cuma bersarapan di bilik. Makan ketupat segera yang kami bawa semalam. Masih elok lagi dan juga makanan segera ynag kami bawa sebagai bekalan seperti maggie, sup cendawan, jagung, oat, roti dan sebagainya. Selepas itu kami dengan teksi yang kami rental semalam kami pun pergilah sekali lagi ke Angkor. Sedikit informasi tentang Ankor ini yang telah dipetik daripada Wikipedia.

Angkor ialah nama yang digunakan untuk merujuk kepada suatu kawasan di Kemboja yang merupakan pusat pemerintahan empayar Khmer yang berkuasa di antara abad ke-9 dan abad ke-15 Masihi. Kerajaan Angkor menerima pengaruh Hindu-Buddha. Raja Angkor dianggap sebagai Devaraja yang mempunyai kuasa mutlak. Kerajaan Angkor mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan SuryavarmanII. Raja dibantu oleh kerabatnya dalam menjalankan tugas pentadbiran. Pembinaan baray menjadikan kerajaan Angkor mendapat hasil pertanian yang lumayan. Kawasan pertanian terletak di tasik Tonle Sap. Ia dibina pada abad ke-10 Masihi. Pusat pentadbiran ialah hilir Mekong.

Di Angkor ini kawasan teramatlah luasnya kira-kira 400 batu persegi. Kalau jalan kaki mahu patah kepala lutut. Di dalamnya terdapat macam-macam Chandi/Kuil/Istana lama iaitu Angkor Wat (paling besar), Angkor Thom, Bayon, Tha Phom, Bakong dan juga Banteay Srei. Pening kepala melawat tempat-tempat ini. Dengan panas matahari satu hal. Lepas tu dengan bangunan yang sama bentuknya belum lagi dengan bau-bauan colok yang di pasang (terutamanya di Angkor Wat). Kalau pelancong sejati memang habis ditelitinya ukiran batu-batu tu terutamanya mat dan minah salih. Kami eemm..rasa macam sama jer semuanya. Akhirnya kami surrender nak masuk semua bangunan sejarah tu. Amik gambar kat depan dia jer. Lepas tu pi minum air kelapa yang menyamankan. Sempat pulak beberapa orang kanak-kanak yang menjual barangan cenderamata datang kepada kami. Fasih juga mereka ini bercakap dalam bahasa Inggeris. Barang jualan mereka ialah buku-buku pelancongan yang berkaiatan dengan kemboja, pos kad, key chain dan juga barang-barang kraf tangan yang kecil saiznya. Ada antara mereka yang pandai menarik perhatian pembeli dengan bertanyakan dari mana kami berasal dan kemudianya memberikan jawapan ibu negara kami. Sebagai contohnya. Sewaktu mereka datang untuk menjual barangnya kepada kami mereka akan berkata ” Sir, where are you from”. Then we reply ”Malaysia”. Then they continue ” Sir if can guess your capital city, can you buy any item here?” then we reply “ OK”. Then they will give an answer “ Kuala Lumpur is your capital city“. Saya sempat juga menyakat mereka dengan mengatakan yang Kuala Lumpur is not longer be our capital city. Putrajaya is now our capital city. Mereka tahu kita try to cheat them. Akhirnya saya beli satu set pos kad yang mengandungi gambar-gambar pemandangan Angkor dengan harga USD 3.00. Semuanya main dollar.

Selesai itu kami, ke Cambodian Landmine Museum Relief Fund. Tiada bayaran dikenakan cuma terdapat tabung yang disediakan untuk membantu mangsa-mangsa yang cedera terkena periuk api. Ianya bukar sekadar muzium untuk tatapan pengujung tetapi merupakan satu gagasan yang membantu mangsa-mangsa terutamanya kanak-kanak dari segi pendidikan dan juga membantu mereka menjalani kehidupan dengan selesa. Selepas itu kami ke War Musuem. Bayarannya ialah USD3.00/person. Muzium ini di atas kelolaan Kementerian Pertahanan Kebangsaan Cambodia. Tak der menarik sangat pun. Muzium ini didirikan di satu kawasan lapang. Ada pokok-pokok kecil. Macam ladang koko. Lepas tu diletakkan kereta kebal, meriam, peralatan-peralatan perang dan sebagainya. Agak uzur dan terbiar sahaja. Cisss.. buat rugi USD3.00 dolar yang bersamaan RM 11 lebih jer. He.he.. Kami sampai di hotel ketika hari hampir rembang. Malamnya kami tidak kemana-mana. Just jalan-jalan di sekitar hotel dan minum di restoran Dead Fish. Bertingkat-tingkat restoran ini. Ala-ala tradisional sedikit. Sambil minum kami menonton tarian tradisional rakyat kemboja di pentas khas yang disediakan.

Hari ketiga tiada aktiviti yang kami nak buat. Pelawaan supir (driver) yang membawa kami semalam untuk ke taman rumah-rumah tradisional kemboja kami tolak. Tak berminat. So kami jalan-jalan cari makan dekat area Jalan Sivatha yang terletaknya hotel kami itu. Berdekatan dengan hotel kami menginap itu terdapat satu jalan yang terletaknya restoran-restoran yang ala-ala Star Buck, Sub Way restaurant dan sewaktu dengannya. Macam kelas sikit. Ramai pelancong-pelancong asing ke sini. Haii..rasa macam bukan kat Cambodia jer. Kalau malam lagi happening. Dengan lampu lip lapnya dan muzik-muzik yang kuat bergema.

Ini ada satu lagi peristiwa menarik yang ingin dikongsi. Sewaktu jalan-jalan beli souvenir serba sedikit tu tetiba ada penduduk di situ memberi salam kepada kami. Emm.. sapa pulak nie. Rupa-rupanya dia adalah penduduk Islam yang berbangsa Melayu Champa. Mereka boleh tahu yang kami ini Islam. Sewaktu borak-borak ditepi jalan tu kawan saya sempat bertanya tempat di mana terdapat kedai makanan orang-orang Melayu. Mamat ini yang namanya Syukri ini telah membawa kami ke perkampungnya yang tidak jauh dari situ. Naik kenderaan yang unik di sini. Tak tahu pula namanya. Kenderaan tu adalah motosikal sebagai pengerak utamanaya dan di belakangnya disangkutkan tempat duduk. Ala macam beca lah.. Tapi beca tu kat dia punya penumpang diletakkan di tepi. Tapi ni kat belakang. Macam kereta kuda tu. Terhoyong –hayang kami. Dah lah jalannya berlopak-lopak lecak kerana baharu sahaja lepas hujan. Bersyukurnya saya kedai makan itu telah pun tutup kerana mereka cuma berniaga untuk sarapan pagi dan makan tengahari sahaja. Hendak tahu kenapa saya bersyukur kedai itu tidak dibuka? Kerana di belakang kedai itu terdapat sebatang sungai/ parit besar  yang dikiri kanan tebingnya penuh dengan tulang-tulang haiwan. I guess lembu kot. Siap dengan tengkorak kepalanya sekali. Air hitamnya pekat. Berdekatan dengan sungai itu terdapat deretan rumah-rumah. Makk aiiihh..nasib baiklah tak jadi makan kat situ. Kata si Syukri, kampung itu ialah perkampungan masyarakat Melayu Champa yang rata-ratanya penduduk Islam. Tak ingat pula nama kampungnya itu.

Kemudiannya kami telah mengajak si Syukri dan rakannya ke pekan semula untuk minum-minum dan berborak. Kawannya tidak dapat join sama kerana ada urusan lain. Kami minum di restoran Maharaja yang ada tanda halal. Makan nasi goreng sambil berborak-borak dengan Syukri mengenai masyarakat melayu dan Islam di Kemboja. Ketika azan magrib berkumandang Syukri meminta diri. Kami sempat memesan bungkusan nasi goreng untuk dia bawa pulang. Selain itu kami memberikannya lebihan wang CR dan beberapa keping notes USD yang ada. Tak sangka betul berjumpa dengan orang Islam berbangsa melayu di sini. Malam itu kami sekali lagi ke restoran Dead Fish yang berdekatan untuk menghabiskan malam di Kemboja. Sempat juga saya dan rakan membeli t-shirt jenama Dead Fish untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Hari terakhir di Kemboja. Tiada aktiviti di buat. Cuma menghabiskan stok-stok makan segera yang dibawa. Kemudiannya kami bertolak ke Air Port Siem Reap. Kami selamat tiba di LCCT kira-kira jam 2.45pm. Tamatlah percutian budget kos rendah saya bersama-sama rakan yang kami gelar 4 ABANG. Dan ironinya pula, itulah percutian terakhir saya keluar negara setakat ini. Ada juga cadangan ahli untuk ke China tahun ini tapi tiada apa-apa lagi perancangan yang dibuat. Hoiiii korang... bila nak pergi ni?

0 comments: