Pages

Friday, June 20, 2008

Sistem pengurusan berkesan mampu kurangkan risiko bencana


SEJAK kebelakangan ini pelbagai bencana alam berlaku di serata dunia. Dalam tempoh enam bulan tahun ini saja masyarakat dunia digemparkan dengan dua peristiwa bencana alam yang amat dahsyat iaitu taufan Nargis di Myanmar dan gempa di China. Bencana alam itu meragut ribuan nyawa manusia, kemusnahan tempat tinggal, kehilangan dan kerosakan harta benda serta kemusnahan alam sekitar.

Rantau Asia juga pernah dikejutkan dengan bencana tsunami. Akibatnya ratusan ribu nyawa terkorban terutama di utara Sumatera dan beberapa kawasan kediaman di wilayah Aceh, lenyap dalam pandangan mata. Tragedi menyayat hati ini membuktikan betapa bencana alam yang berlaku kadang kala datang tanpa diduga.

Statistik menunjukkan sejak 1992 hingga 2002, di Asia saja kejadian bencana alam menjejaskan kehidupan 1.7 juta manusia dan meragut 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS$369 bilion.