Pages

Monday, June 4, 2018

Alhamdullilah. Terima kasih Ya Allah.

Alhamdullilah tahun ini kami sekali sekala dapat berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Seronok juga sekali sekali dapat menyegarkan mata sambil berbuka di perkarangan Masjid ini yang telah didirikan khemah.

Sedikit latar belakang Masjid Tuanku Mizan Zainal AbidinMasjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diambil sempena nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII,  Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.  Mula dibina pada 5 April 2004 dan telah diserahkan pengurusannya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 19 Ogos 2009.


Sebelum azan akan ada majlis tahlil dan mengucapkan zikirullah. Kemudiannya apabila masuk waktu magrib kami berbuka dengan 3 biji kurma, sepotong kuih dan secawan air. Kemudiannya solat Magrib berjemaah. Selepas itu, ada hidangan nasi dan buah-buahan disediakan. Kemudiannya solat Isyak dan tarawikh. Ada moreh yang biasanya adalah bubur untuk hidangan sebelum pulang.



Alhamdullilah. Terima kasih Ya Allah.



Tuesday, May 22, 2018

Semoga Jalinan Ukhuwwah Ini Terus Berkekalan.

Majlis Iftar di 3 Ramadhan 1439H bersama-bersama sahabat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (SKTMUM) Bacth 1997/98.

Terima kasih wahai sahabat yang masih lagi berusaha mengekalkan tali persahabatan. Tahun ini tuan rumah adalah Shahrizal (Apeng). Majlis dibuat di pejabat beliau di HPCS SDN BHD,di Taman Alam Budiman, Seksyen U10, Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.


Semoga jalinan ukhuwwah ini terus berkekalan.
Semoga jalinan ukhuwwah ini terus berkekalan.

Thursday, December 7, 2017

Novelis Kegemaran

Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini Abdul Talib Mohd Hassan merupakan salam seorang penulis kegemaran saya. Hampir kesemua hasil karya beliau ada dalam simpanan saya. Dari hasil pencarian saya berikut adalah gambar dan biodata beliau yang saya temui.
Abdul Talib Mohd Hassan merupakan salah seorang penulis novel Malaysia. Beliau merupakan anak sulong dari tujuh beradik. Bapanya, Mohd Hassan bin Ali merupakan salah seorang pegawai Jabatan Laut.
Abdul Talib Mohd Hassan

Pendidikan
Abdul Talib Mohd Hassan (lahir 1947) mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Laki-laki Teluk Intan (1945-1957). Beliau kemudiannya menyambung pengajiannya di sekolah Rendah Anglo-Chinese, Teluk Intan (1958-1960), sebelum meneruskan pengajiannya di sekolah Menengah Horley Methodist, Teluk Intan (1960-1965). Selepas itu beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Harian, Teluk Intan, dan pada masa yang sama belajar secara sambilan dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia pada 1969. Setelah tamat kursus, beliau kemudiannya mengajar di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Johor.

Buku Penulisan

    (1989) Warisan, Wajah- wajah di pelangi
    (1990) Jelaga, Cinta Semalam, Primadona
    (1991) Pelarian, Bebayang Ungu, Mimah, Mega-Mega,Sinar di Sebalik Kabus, Destini Kasih, Ika, Airiani
    (1992) Di Rahang Sumpah.
    (1993) Sutera dalam Lukisan, Saga Dua
    (1994) Jerebu
    (1997) Khailee
    (2001) Saga Tiga, Kompilasi Destini Kasih, Kompilasi Sekuntum Bunga Sena.
    (2005) Diari Hati

Kejayaan Penulisan

    Pemenang pertama Sayembara Novel GAPENA 1976 dengan novel Saga.
    Hadiah kedua Sayembara Novel Hari Guru 1977 dengan novel Pelarian.
    Pemenang kedua Sayembara Novel GAPENA & Yayasan Sabah 1979 dengan novel Warisan.
    Hadiah ketiga dalam Peraduan Menulis Skrip Drama televisen Anjang Aki


Sumber : Wikipedia

Bayaou Lagoon Melaka


Bayou Lagoon Water Park terdiri daripada dua gelungsur utama yang menarik dan mendebarkan serta pelbagai gelunsur bagi anak-anak di tempat yang menjadikan Bayou Lagoon Park Resort adalah kegemaran untuk kedua-dua anak muda dan tua dalam percutian keluarga, serta pilihan percutian yang sempurna untuk lari dari kesibukkan bandar!

Saya sekeluarga berpeluang untuk merasai percutian di Bayou Lagoon Water Park, Melaka sewaktu meghadiri bengkel pemantapan warga kerja di bahagian saya bertugas pada 24-26 November 2017 yang lepas. Seronoklah juga. Disamping berbengkel dapat juga kami bersama-sama bercuti bersama keluarga walaupun jarak hotel ke rumah saya di kampung cuma sekangkang kera. 


Rakan-rakan sekerja saya

 
Majlis makan malam



Bukan karaoke tapi berucap


Friday, December 1, 2017

Kedinginan di Tanah Tinggi Cameron

Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah daerah dan pusat peranginan tanah tinggi di Pahang, Malaysia. Cameron Highland terletak setinggi 1,829 meter dari aras laut dan bersuhu antara 10°C hingga 20°C.

Cameron Highlands mula diterokai oleh Sir William Cameron sekitar tahun 1885 di mana pada ketika itu beliau sedang melakukan pemetaan persempadanan Pahang-Perak. Terdapat tiga mukim dalam daerah Cameron Highland iaitu Ringlet (5,165 hektar), Tanah Rata (2,081 hektar) dan Ulu Telom (63,981 hektar). Manakala terdapat beberapa bandar dan pekan seperti Ringlet, Tanah Rata (pusat pentadbiran tempatan), Brinchang, Lembah Bertam, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.


Terletak di bahagian barat laut negeri Pahang, Cameron Highlands boleh diakses dengan menggunakan kenderaan sama ada melalui Tapah atau Simpang Pulai dari negeri Perak, melalui Gua Musang dari negeri Kelantan atau melalui Sungai Koyan dari negeri Pahang.

Pada 19-21 Ogos 2017 yang lepas saya bersama-sama keluarga sempat merasakan kediginan udara di sana. Pada hari pertama kami menginap di English Cottage yang terletak di dalam MARDI Agrotechnology Park. Cottage ala-ala kediaman residen Inggeris ini mengandungi  3 bilik, 1 ruang tamu, 1 ruang makan dan dapur. Sangat selesa dan tentunya boleh menjalankan aktiviti memasak kena disediakan dengan kelengkapan peralatan memasak.

MARDI Agrotechnology Park
Pada keesokkan harinya pula kami melawat sekitar kawasan Park tersebut. Untuk makluman MARDI Agrotechnology Park adalah sebuah stesen penyelidikan pertanian di Tanah Rata, terbuka kepada orang awam dan dikendalikan oleh sebuah institut kerajaan iaitu MARDI untuk perkembangan penyelidikan pertanian. Dalam kawasan taman seluas 42 hektar, kami boleh meneroka pelbagai taman bunga, rumah tanaman, taska tumbuhan, tanah ladang dan juga ladang teh kecil dengan kilangnya. Park ini dibuka setiap hari. Tiket masuk berharga RM5 untuk setiap orang dewasa dan RM3 bagi setiap kanak-kanak. Bagi kami yang menginap di dalam taman ini tiada bayaran yang dikenakan.

Jam 12.00 tengah hari kami check-out dan check-in pula di rumah Rehat Peranginan Persekutuan (RRP)  Eksekutif Cameron Highland. Beruntung dapat menempah banglo 3 bilik dengan harga RM150.00, tetapi berbaloi dengan keselesaan yang disediakan.

Petang kami ke Healthy Strawberry Farm yang terletak di sebelah pintu masuk RRP. Anak-anak berpeluang memetik anggur dengan bayaran RM30 bagi 2 orang. Malamnya kami cuma berjalan-jalan mencari makanan di sekitar kawasan. Sampai di RRP jam 10 malam. Dan seterusnya masa untuk tidur.

Jam 11pagi check-out dan seterusnya kami ke Ladang Teh Sungei Palas. Ladang ini  terletak di Brinchang iaitu kira-kira 5 km ke utara dari bandar atau kira-kira 10-11 km dari RRP yang kami menginap. Ladang ini dimiliki dan diuruskan oleh Boh Tea dan menampilkan pusat teh sendiri, galeri pelawat dan kilang pameran  untuk dilawati. Memakir kereta di kaki puncak yang menempatkan galeri pelawat, kami mendaki anak tangga hingga ke atas. Sambil menyedut udara segar  dan mengelap peluh di dahi akhirnya kami sampai di atas untuk mengambil gambar di papan tanda Ladang Teh Sungei Palas.


Ladang Teh Sungei Palas.
Jam 1.00 petang kami kemudiannya ke Kea Farm Market yang terletak kira-kira 2km dari ladang teh tersebut. Hujan mulai turun dan aktiviti membeli  sayuran dan buah tangan tidak berapa selesa. Namun penuh juga ruang simpanan barang di kereta. Jam 3.30 petang kami bertolak turun pulang ke rumah melalui laluan Simpang Pulai. Berhenti di RnR Tapah untuk bersolat Asar dan sampai di rumah ketika senja merah kirmizi hampir menghilang.

Tamatlah episod cuti-cuti Malaysia kami di Tanah Tinggi Cameron, Pahang Darul Makmur.

p/s: Akan ada update lagi Catatan perjalanan nanti.

Friday, November 17, 2017

Bisik Pada Langit

Sewaktu menonton TV bersama keluarga. Ada preview untuk filem Bisik Pada Langit. Tayangan awal 1/2 jam dari keseluruhan filem di kaca televisyen amat mengujakan. Kebetulan pula pada suatu hari bekerja saya bercuti dan berkesempatan pula dapat menonton di GSC Alamanda seorang diri. Kenapa saya betul-betul tertarik dengan filem ni. Ahakksss.. disebabkan oleh pengarah filem ini iaitu Kabir Bhatia. Malangnya skrip filem ni bukan ditulis oleh isteri beliau iaitu Mira Mustafa tetapi oleh Maizura Ederis. Kalau tidak, pasti lagi meletup seperti rantaian drama dan filem Nur Kasih.

Lagu Lygophobia yang menjadi lagu latar filem ini adalah dendangan Akim & The Majistret, ciptaan Hang Nadim dan lirik ditulisnya oleh Laq juga berjaya meruntun jiwa penonton. Tetapi kalau dengar sampai habis amat menyesakkan telinga dan dada. Mujur bahagian awal lagu ini sahaja yang dimuatkan pada adegan yang tertentu.


Filem ini memang membuat saya tersentuh hati semasa menontonnya tetapi tidak sampai menyentuh ke dasar hati sebagai filem tayangan di panggung. Untuk standard Kabir Bhatia, saya mahu filem panggung yang lebih baik berbanding Bisik Pada Langit. Bila agaknya?

Kasih ayah lebih tinggi daripada gunung dan sayang ibu lebih dalam daripada dasar lautan.

p/s: Sedang mencari Novel Bisik Pada Langit yang dihasilkan berdasarkan filem ini. Tapi di MPH tiada stok. Di  mana nak ku cari..?

Kompilasi Sekuntum Bunga Sena

Hujung minggu lepas. Belek-belek di rak buku, terjumpa Novel Kompilasi Sekuntum Bunga Sena. Novel kompilasi ini mengandungi 3 buah cerita iaitu Kompilasi (1) Sekuntum Bunga Sena (2) Bebayang Ungu (3) Mega-mega.

Segera  saya ambil untuk dibaca semula.  Sebab pertama yng menarik perhatian saya untuk membaca buku ini ialah disebabkan oleh penulis novel ini iaitu Abdul Talib Mohd Hassan (lahir 11 Oktober 1947) merupakan salah seorang penulis novel terkenal di Malaysia.
Antara karya-karya beliau ialah:

(1989) Warisan, Wajah- wajah di pelangi
(1990) Jelaga, Cinta Semalam, Primadona
(1991) Pelarian, Bebayang Ungu, Mimah, Mega-Mega,Sinar di Sebalik Kabus, Destini Kasih, Ika, Airiani
(1992) Di Rahang Sumpah.
(1993) Sutera dalam Lukisan, Saga Dua
(1994) Jerebu
(1997) Khailee
(2001) Saga Tiga, Kompilasi Destini Kasih, Kompilasi Sekuntum Bunga Sena.
(2005) Diari Hati

Hampir kesemua novel beliau ada dalam simpanan saya. Novel yang betul-betul menarik minat saya adalah novel warisan dan siri Saga 1, 2 dan 3. Setahu saya, selepas Novel Diari Hati sudah tiada lagi novel beliau. Sayang sungguh.  Kalaulah ada penulis novel yang sekarang ini sama standard penulisannya dengan beliau kan bagus..

Hati mana yang tak retak, jiwa mana yang tidak lebur, dahan tempat bergantung patah, ruang tempat berteduh pecah dan kini dia tiba-tiba nanar menjadi sang pemburu pada sebuah kebahagiaan hakiki.